JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi menegaskan individu yang secara sengaja menyebarkan virus Covid-19 dan menyebabkan risiko kesihatan awam di negara itu akan dikenakan tindakan tegas serta berdepan hukuman denda dan penjara.
Lapor Arab News, agensi kerajaan menerusi kenyataan akhbar berkata, individu yang terlibat jenayah itu akan berdepan hukuman penjara selama lima tahun dan denda 500,000 riyal (RM548,000).
Sementara itu, golongan ekspatriat yang melakukan kesalahan itu akan dihantar pulang dan dilarang mengunjungi semula negara itu.
Malah, sekiranya pelanggaran itu didapati berulang, hukuman akan menjadi berlipat ganda.
Pelaksanaan itu selepas pihak berkuasa kesihatan memberi amaran berhubung peningkatan kes harian Covid-19 minggu lalu yang berpunca akibat ketidakpatuhan masyarakat.
Sikap itu termasuk berhimpun secara beramai-ramai sehingga menjadi sesak di tempat awam, acara peribadi yang melebihi kapasiti maksimum serta tidak mematuhi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan.
Selama lima hari berturut-turut, Arab Saudi merekodkan kes melebihi 1,000 sekali gus menyaksikan peningkatan kes sebanyak 411,263 sejak pandemik bermula.