Hanya 30 orang dibenarkan hadir upacara pengebumian Putera Philip - Utusan Malaysia

Hanya 30 orang dibenarkan hadir upacara pengebumian Putera Philip

SENARAI individu hadir pada upacara pengebumian Putera Philip akan diputuskan oleh Ratu Elizabeth II. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seramai 30 orang sahaja akan dibenarkan menghadiri majlis pengebumian Putera Philip yang bakal berlangsung di Istana Windsor pada Sabtu ini.

Keputusan itu dibuat susulan sekatan pandemik Covid-19 yang ketat.

Lapor The Sun, senarai individu hadir pada upacara tersebut akan diputuskan oleh Ratu Britain, Ratu Elizabeth II.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson tidak akan menghadiri upacara pengebumian itu bagi memberi peluang kepada anggota kerabat diraja lain.

Duchess of Sussex, Meghan Markle yang kini sarat mengandung juga  tidak akan menghadiri majlis tersebut atas nasihat doktor.

Empat anak Philip bersama pasangan mereka iaitu Putera Charles dan Camilla Pawker Bowles, Puteri Anne dan Timothy Lawrence, Putera Andrew serta Putera Edward dan Sophie Wessex antara yang dijangka hadir.

Dalam pada itu, Metro melaporkan, Philip pernah meminta Charles untuk menjaga ibunya dalam satu perbualan keluarga penuh emosi di hospital.

Berdasarkan beberapa laporan media, insiden itu berlaku ketika Putera Charles melawat ayahnya yang menerima rawatan di hospital King Edward VII di London pada 21 Februari lalu.

Putera Charles kelihatan beremosi selepas meninggalkan hospital setelah berbual dengan ayahnya selama 30 minit yang dipercayai menasihatkannya untuk menjaga keluarga apabila beliau sudah tiada lagi.

Daily Mail melaporkan, Philip mempunyai tiga perkara penting yang ingin dibincangkan dengan Charles selepas mengetahui masanya semakin suntuk.

Seorang sumber mendakwa Philip memberitahu anaknya bahawa beliau ingin menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di rumahnya di Istana Windsor.

Dakwanya, Philip juga memberitahu Charles untuk menjaga ibunya dengan baik.

Putera Philip juga menasihati anaknya untuk memimpin Keluarga Diraja dengan sebaiknya pada masa akan datang.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan Putera Harry tiba di Lapangan Terbang Heathrow London semalam untuk menghadiri upacara pengebumian Philip.

Ini merupakan lawatan pertama Duke of Sussex itu ke United Kingdom (UK) sejak membuat keputusan untuk meninggalkan kehidupan diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya