JAKARTA: Satu gempa bumi susulan sekuat 5.5 skala Richter direkodkan berlaku di Malang, Jawa Timur pagi ini, namun tidak berisiko mencetuskan tsunami.
Lapor CNN Indonesia, maklumat tersebut disampaikan oleh Badan Meterologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) menerusi akaun Twitternya.
“Satu gempa bumi susulan berukuran 5.5 magnitud dikesan pada kedalaman 98 kilometer pada pukul 6.54 pagi waktu tempatan.
“Gempa itu bagaimanapun tidak berisiko mencetuskan tsunami,” menurut BMKG.
Berdasarkan pantauan BMKG, terdapat empat gempa susulan berlaku sejak semalam.
Terdahulu, gempa bumi sekuat 6.1 Richter berlaku semalam yang berpusat di Malang, mengakibatkan sejumlah bangunan dan kediaman penduduk rosak.
Gempa itu juga meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan ramai cedera.
Selain itu, gempa tersebut juga dilaporkan menyebabkan kemusnahan infrastruktur di 13 daerah.