Gelandangan dipukul sampai mati - Utusan Malaysia

Gelandangan dipukul sampai mati

MAYAT Petr Balika ditemukan tanpa pakaian pada pagi Ahad lalu. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 TEHERAN: Dua kanak-kanak lelaki didakwa memukul seorang gelandangan sehingga mati selepas enggan mengemis wang untuk membelikan mereka gula-gula.

Lapor Daily Star, suspek berusia 12 dan 13 tahun itu dipercayai memukul Petr Balika, 58, selama beberapa jam selepas membawanya ke sebuah lokasi lain di Izmail, Ukraine.

Rakaman polis menunjukkan salah seorang suspek mengaku melakukan jenayah mengerikan itu. 

“Kami memaksa lelaki itu (Balika) mengikut bersama kami ke kawasan itu lalu memukul mukanya.

“Dia jatuh ke tanah dan kami mula menendang perut dan seluruh badannya. Kami kemudian memukulnya menggunakan kayu,” katanya.

Seorang penduduk menemukan mayat Balika dalam keadaan tanpa pakaian pada pagi Ahad lalu.

Menurut pakar forensik, Balika meninggal dunia akibat mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan perut akibat dipukul serta semua tulang rusuknya patah. 

Kes tersebut dianggap sebagai kecederaan serius yang disengajakan sehingga mengakibatkan kematian. 

Jurucakap polis berkata, berdasarkan bukti di lokasi kejadian, lelaki gelandangan dibunuh oleh dua suspek berusia 12 dan 13 tahun.

Menurut laporan Daily Mail, kedua-dua suspek dibenarkan pulang ke rumah selepas memberi keterangan kepada polis.

Mahkamah akan memutuskan sama ada untuk menempatkan kanak-kanak itu di pusat tahanan bagi golongan bawah umur ketika siasatan dijalankan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya