Dalang skim Ponzi meninggal dunia - Utusan Malaysia

Dalang skim Ponzi meninggal dunia

BERNIE MADOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Dalang skim Ponzi terbesar di Amerika Syarikat, Bernie Madoff dilaporkan meninggal dunia di Pusat Koreksional Persekutuan Butner, North Carolina.

Lapor Daily Mail, Madoff yang sudah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun belum dipastikan tempat dia akan dikebumikan.

Tahun lalu, dia merayu supaya dibebaskan awal kerana mendakwa buah pinggangnya sudah rosak dan hanya mempunyai masa selama 18 bulan untuk hidup.

Bagaimanapun, hakim menolak permintaan tersebut kerana tertuduh terlibat dalam jenayah kewangan paling mengerikan dalam sejarah AS serta dia perlu menanggung akibat atas perbuatan itu.

Madoff dijatuhkan hukuman 150 tahun penjara pada 2009 selepas didapati bersalah melakukan penipuan terhadap 37,000 mangsa dari 136 negara dengan nilai kerugian mencecah AS$64.8 bilion (RM259.2 bilion).

Modus operandinya dengan menggunakan wang peserta lain untuk dibayar kepada individu lain sehingga menyebabkan mangsa kehilangan berbilion dolar.

Dia ditangkap pada 2008 selepas dua anak lelakinya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Kebanyakan mangsanya adalah orang Yahudi kerana Madoff dikenali sebagai seorang dermawan.

Antara mangsanya ialah pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Elie Wiesel yang kerugian sebanyak AS$15.2 juta (RM60.8 juta).

Bagaimanapun, Wiesel berkata, kematian Madoff tidak dapat mengembalikan semula kerosakan yang telah dilakukannya selama bertahun-tahun.

“Kesakitan yang dialami oleh mangsa penipuan Madoff tidak sedikit pun berkurang dengan berita kematiannya.

“Pasukan undang-undang saya akan terus mengenal pasti serta berusaha mendapatkan kembali wang yang dicuri itu untuk dikembalikan kepada pemilik sah mereka,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya