NEW DELHI: India dilaporkan memberi kebenaran penggunaan ubat antiviral remdesivir dan tocilizumab dalam merawat pandemik Covid-19 di negara itu.
Lapor BBC, remdesivir diberi kebenaran oleh doktor untuk digunakan di seluruh negara serta mempunyai permintaan tinggi.
Remdesivir adalah ubat yang dibangunkan Gilead Sciences iaitu sebuah syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat.
India bagaimanapun melarang eksport ubat tersebut dan pengilang masih berusaha memenuhi permintaan itu.
Salah satu syarikat pengilang daripada tujuh pembekal remdisivir di India, Hetero Pharma berkata, syarikatnya berusaha meningkatkan penghasilan ubat itu.
BBC mendapati kekurangan bekalan ubat itu menyebabkan permintaan tinggi dalam pasaran gelap di Delhi dan beberapa bandar lain.
Sekurang-kurangnya, tiga ejen yang dihubungi BBC di Delhi bersetuju membekalkan 100 miligram (mg) botol remdesivir berharga 24,000 rupees (RM1,331) iaitu bersamaan lima kali ganda daripada harga pasaran.
Kementerian Kesihatan India mengesyorkan pengambilan enam dos botol ubat itu bagi setiap pesakit, namun, menurut doktor beberapa kes memerlukan lapan dos.
Bagi Atul Garg, yang ibunya ditahan di hospital swasta di Delhi, harga ubat itu menuntut wang yang banyak bagi keluarga kelas pertengahan.
“Saya perlu mempunyai banyak duit untuk membeli ubat itu. Malah, perlu menghubungi beratus kali dan menuntut masa yang banyak,” luahnya.
Sementara itu, Tocilizumab adalah ubat yang biasa digunakan bagi merawat arteritis serta berjaya menyelamatkan nyawa manusia dalam beberapa ujian klinikal.
Namun, bekalan ubat itu hampir tiada dalam pasaran India.
Dalam pada itu, Setiausaha Agong Persatuan Ahli Farmasi dan Kimia, Rajiv Singhal berkata, dia kerap menerima panggilan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan ubat tersebut.
“Situasi ini sangat buruk sedangkan saya sendiri tidak berjaya mendapatkan ubat untuk ahli keluarga sendiri.
“Kami berusaha mengambil tindakan terhadap individu yang menjualnya di pasaran gelap dan saya akui terdapat kebocoran dalam sistem pengagihan ubat tersebut,” katanya.
India merekodkan jangkitan kes Covid-19 harian melebihi 150,000 kes bagi tiga minggu berturut-turut.