LONDON: Seorang lelaki berasa kecewa selepas mengetahui diberi suntikan vaksin Covid-19 yang berlainan secara tidak sengaja dalam satu kempen vaksinasi.
Lapor Metro, Craig Richards berkata, kejadian berlaku Selasa lalu apabila dia menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer sebelum petugas kesihatan yang mengendalikan proses itu menyedari telah menyuntik vaksin yang salah.
“Petugas tersebut hanya tanya saya sama ada sudah bersedia untuk disuntik dan saya menjawab ya. Dia kemudian terus melakukan proses itu.
“Sebaik sahaja selesai menyuntik vaksin itu, dia melihat kad perubatan saya dan menyedari sudah memberikan vaksin Pfizer.
“Saya memberitahu petugas terbabit telah menyuntik vaksin yang salah, namun dia hanya berdiam diri,” katanya seperti dilaporkan WMUR.
Pada Mac lalu, Richards menerima suntikan dos pertama vaksin Moderna di pusat vaksinasi sama yang terletak di bandar Lempster di New Hampshire.
Jelas Richards, ketika kejadian, seorang penyelia di pusat vaksinasi berkenaan bertemu dengannya memberitahu dia tidak perlu bimbang kerana sudah menerima suntikan dos vaksin yang lengkap.
Richards berasa kecewa dan tidak menyangka kesilapan seperti itu boleh berlaku di kempen vaksinasi yang dianggap selamat dan penting dalam memerangi pandemik Covid-19.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan dalam satu kenyataan memaklumkan Richards tidak perlu bimbang selepas menerima suntikan vaksin tersebut.
“Siri gabungan itu masih selamat kerana garis panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan penggunaan vaksin berlainan sekiranya jenama vaksin pertama sudah tiada lagi ketika proses suntikan dos kedua.
“Meskipun belum ada kajian klinikal mengenai penggunaan vaksin berlainan sama ada berkesan seperti pengambilan suntikan yang lengkap, ia masih memberikan perlindungan yang cukup sehingga dos ketiga tidak diperlukan lagi,” jelas kenyataan itu.