PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberi amaran bahawa peningkatan kes Covid-19 secara mendadak telah meletakkan Kemboja dalam situasi ambang kematian.
Amaran itu selepas Kemboja melaksanakan perintah berkurung di ibu negaranya, Phnom Penh dan sebuah bandar berhampiran.
Negara itu menyaksikan lonjakan kes Covid-19 sejak Februari lalu apabila penularan wabak pertama kali dikesan berpunca daripada komuniti ekspatriat China.
“Marilah kita sama-sama menamatkan pandemik ini.
“Kita kini di ambang kematian. Jika kita tidak bersatu, kita akan menyaksikan kematian yang dahsyat sebenar,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Jumlah kes Kemboja kini melepasi 4,800 kes, namun Hun Sen berkata, sebanyak 300 kes tambahan dikenal pasti.
Minggu lalu, pihak berkuasa berkata, kapasiti katil di hospital Phnom Penh mengalami kekurangan dan mereka terpaksa mengubah beberapa sekolah dan dewan perkahwinan sebagai pusat rawatan. – AFP