NEW DELHI: India merekodkan kes harian melebihi 314,000 jangkitan baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15.9 juta kes sejak pandemik bermula.
Lapor AP, Rekod itu merupakan kes kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat mengungguli carta pertama.
Perkembangan baharu itu menjadikan India sebagai negara kedua di dunia yang terpaksa menghantar pesakit ke fasiliti kesihatan yang lumpuh disebabkan kekurangan bekalan oksigen dan katil di hospital.
India mempunyai seramai 1.4 bilion penduduk dengan kes kematian meningkat sebanyak 2,104 dalam tempoh 24 jam lalu dengan jumlah keseluruhan kematian 184,657.
Seorang doktor di Pusat Penyelidikan dan Hospital Shanti di Bengaluru berkata, dia menerima banyak panggilan setiap hari daripada pesakit yang terdesak memerlukan katil.
“Permintaan katil sekarang melebihi bekalan sedia ada. Saya berusaha mencari katil untuk pesakit setiap hari dan sangat mengecewakan kerana tidak dapat membantu mereka.
“Minggu lalu, tiga pesakit saya mati di rumah kerana tidak berupaya mendapatkan katil. Sebagai doktor, sudah tentu ia adalah perasaan yang mengerikan,” luahnya.