BEIJING: China semalam melancarkan modul pertama stesen angkasa lepas kekal dan usaha terbaharu itu menjadi batu loncatan negara ini untuk memajukan program angkasa lepasnya.
Lapor BBC, modul Tianhe yang mengandungi tempat tinggal untuk kru angkasawan, dilancarkan menerusi roket Long March-5B dari Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang, di wilayah Hainan.
Beijing merancang melancarkan sekurang-kurangnya 10 misi serupa yang membawa lebih banyak modul sebelum stesen angkasa lepas Tiangong siap dibina pada tahun depan.
China berharap stesen angkasa lepas baharu itu dapat beroperasi menjelang 2022 selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
Ketika ini, satu-satunya stesen angkasa yang berada di orbit adalah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mana China dikecualikan.
China dilarang daripada menyertai program ISS berikutan satu undang-undang diluluskan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2011 yang menghalang hubungan rasmi dengan program angkasa lepas negara ini berikutan isu keselamatan.
Pada tahun 2003, China menghantar angkasawan pertama ke orbit sekali gus menjadikan negara ketiga selepas Kesatuan Soviet dan AS.
Setakat ini, China sudah menghantar dua stesen angkasa lepas ke orbit.
Tiangong-1 dan Tiangong-2 merupakan stesen percubaan yang hanya membolehkan penginapan untuk tempoh singkat bagi angkasawan.