LONDON: Seorang calon bebas yang bertanding merebut jawatan datuk bandar di sini mencetuskan kontroversi apabila video yang menunjukkan dia pernah minum air kencingnya sendiri menjadi tular dalam media sosial.
Menerusi rakaman video yang dirakam pada 2018, Brian Rose menikmati ‘minuman’ itu dan menyifatkan cecair kuning tersebut berasa sedikit masin.
Namun, video tersebut yang sebelum ini pernah dimuat naik dalam Instagramnya sudah dipadam.
Lapor Metro, Rose merupakan bekas pegawai bank dan berkecimpung menjadi seorang YouTuber.
Dia pernah memaparkan beberapa teori konspirasi menerusi saluran rasminya, London Real, sekali gus menonjolkan dirinya untuk merebut jawatan sebagai Datuk Bandar London.
Antara kandungan lain yang dimuat naik adalah sesi senaman yang dilakukannya untuk menghadapi pilihan raya datuk bandar yang disifatkannya sebagai ‘peperangan’.
Dalam kempennya, Rose menawarkan dimensi baharu bagi London yang boleh membantu memperkasakan pendidikan ekonomi dan perkhidmatan kesihatan serta menjamin hak asasi manusia di bandar tersebut.
Sementara itu, Datuk Bandar London, Sadiq Khan dijangka mempertahankan kedudukannya apabila diramal memenangi pilihan raya berkenaan.