LONDON: Britain sudi menawarkan tempat perlindungan kepada bekas Duta Myanmar ke London, Kyaw Zwar Minn selepas dia diusir keluar dari bangunan kedutaan itu oleh pegawai junta tentera.
Zwar Minn mengadakan pertemuan dengan Menteri Pejabat Luar Britain untuk Asia, Nigel Adams semalam selepas pengusirannya pada Selasa lalu.
“Kami akan terus menyokong Zwar Minn dan memastikan keselamatannya terjamin di United Kingdom (UK),” menurut Adams menerusi Twitternya.
Terdahulu, Britain mengecam tindakan junta tentera Myanmar yang merampas bangunan kedutaan di London.
Zwar Minn pula terpaksa tidur di dalam kereta selepas bangunan kedutaan itu dikawal ketat oleh pegawai junta, selain tunjuk perasaan turut diadakan bagi membantah insiden tersebut.
Selain itu, Zwar Minn juga menzahirkan kebimbangan junta tentera akan membunuhnya sekiranya beliau pulang ke Myanmar. – AFP