Berjayakah Biden bebaskan Palestin ? - Utusan Malaysia

Berjayakah Biden bebaskan Palestin ?

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dibawah kepimpinan Presiden Joe Biden berjanji untuk membawa perubahan dalam konflik Israel-Palestin. 

Penyaluran semula bantuan berjumlah AS$235 juta (RM 969.93 juta) kepada penduduk Palestin yang diberhentikan oleh bekas Presiden, Donald Trump menunjukkan permulaan ke arah perubahan itu.

Walaupun usaha berkenaan boleh dianggap sebagai tanda positif ke arah haluan baharu namun beberapa pakar berpandangan masih terlalu awal untuk mengharapkan perubahan signifikan itu berlaku.

Pakar turut menganggap janji pentadbiran AS baharu untuk membawa perubahan dalam konflik Israel-Palestin mungkin tidak menjadi kenyataan kerana perlu berdepan pelbagai cabaran yang sukar.

Setiausaha Negara, Anthony Blinken baru-baru ini mengumumkan AS akan menyumbang AS$150 juta (RM619.10 juta) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta memperuntukan AS$75 juta (RM309.55 juta) bagi projek pembangunan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

AS juga akan menyalurkan sebanyak AS$10 juta (RM41.27 juta) bagi usaha pendamaian antara Palestin dan Israel.

Bantuan itu amat penting bagi rancangan Biden untuk membina semula sokongan dan hubungan politik dengan Palestin bagi memudahkan penyelesaian dua negara.

Seperti diketahui, Biden lantang mengkritik dasar penempatan haram Israel di tanah Palestin.

Malah, ketika menjadi Naib Presiden AS pada 2016, beliau menzahirkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhubung isu peluasan penempatan haram.

Sepanjang kempen pilihan raya, Biden juga mengulangi hasratnya untuk mempercepatkan penyelesaian dua negara dan berjanji untuk membuka semula misi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington dan Kedutaan AS bagi hal ehwal penduduk Palestin di Baitulmuqaddis.

Bagaimanapun, pakar tidak melihat perubahan besar dalam pendekatan diambil oleh pentadbiran AS.

Pengarah Pusat Pengajian Asia Barat di Universiti Denver, Nader Hashemi menyifatkan pentadbiran Biden tidak mempunyai visi tersusun untuk konflik yang akan mengubah situasi penduduk Palestin secara drastik.

Jelas Nader, dasar Biden merupakan kesinambungan sokongan tanpa syarat di bawah setiap pentadbiran AS sejak penubuhan Israel.  

Justeru, katanya, hak asasi penduduk Palestin akan tetap tidak tercapai dengan tiada tindakan drastik untuk mendesak Israel untuk sebarang kompromi.     

“AS tidak akan menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonominya untuk memaksa Israel memberi kelonggaran kepada penduduk Palestin bagi menegakkan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.    

Seorang pensyarah kanan politik Asia Barat dari Universiti Kent, Yaniv Voller menganggap pasukan Biden adalah kesinambungan pentadbiran AS semata-mata.

“Anggota utama pasukan dasar luar Biden seperti Blinken atau Pengarah CIA, Dr. William Burns merupakan anggota lama penubuhan dasar luar Palestin dan Israel, jadi mungkin tiada apa yang  berubah,” jelasnya. – AGENSI    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya