LONDON: Seorang wanita diselubungi penyakit misteri apabila sering tertidur selepas ketawa.
The Daily Star melaporkan, Bella Kilmartin, 24, malah, pernah melalui detik cemas apabila hampir lemas semasa mandi di kolam renang.
“Saya hilang kawalan terhadap semua otot semasa saya ketawa. Lutut saya menjadi lemah, kepala saya terkulai.
“Saya sedar, terjaga dan mampu mendengar segala yang berlaku, tetapi tidak boleh menggerakkan badan,” katanya.
Wanita itu disahkan menghidap narcolepsy sejak zaman remaja selepas dia tertidur semasa menduduki peperiksaan.
Dia turut menderita cataplexy iaitu apabila otot tiba-tiba menjadi lemah disebabkan terdorong oleh emosi yang kuat.
Dalam kes Bella, ia merujuk kepada perbuatan ketawa.