LONDON: Jenama mewah, Louis Vuitton menerima kritikan hebat selepas menjual beg tangan terbaharunya yang berbentuk seperti pesawat pada harga terlalu tinggi iaitu 28,210 pound (RM160,739).
Lapor Daily Mail, beg tangan Louis Vuitton berbentuk pesawat rekaan Virgil Abloh bagi musim luruh dan sejuk 2021 dikongsi di laman Twitter oleh Saint.
Beg tangan itu menampilkan segala ciri pesawat daripada nacelles enjin hingga sayap yang dilitupi dengan kanvas Monogram Eclipse.
Rekaan produk terbaharu jenama fesyen mewah itu mengundang sindiran warganet di laman media sosial sehingga ada yang menyifatkan harga beg tangan itu terlalu mahal dan nilai tidak munasabah untuk rekaan demikian.
Seorang pengguna media sosial secara sinis memaklumkan orang ramai boleh membeli pesawat sebenar dengan harga lebih murah berbanding nilai beg tangan tersebut.
“Dengan harga itu, anda boleh ‘beli pesawat sebenar dengan nilai lebih murah’,” tulis pengguna media sosial tersebut.