PALEMBANG: Gara-gara melihat tangan anak berdarah ketika jarum suntikan dicabut, seorang lelaki bertindak membelasah jururawat di Hospital Siloam Sriwijaya.
Lapor Kompas.com, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dikenali sebagai JT dipercayai menampar dan menendang mangsa sehingga tersungkur.
Mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian muka selepas diserang.
Ketua Sub-Bahagian Polis Palembang, M Abdullah berkata, JT ditahan di rumahnya di bandar Kayuagung, Jumaat lalu dan dibawa di Ibu Pejabat Polis Palembang untuk disoal siasat.
“Dalam kejadian itu, suspek ingin mengambil anaknya yang sudah selesai menjalani rawatan. Namun, tidak semena-mena melihat keadaan anaknya yang berdarah selepas jururawat mengeluarkan jarum. Suspek kemudian meminta jururawat itu memeriksa keadaan anak lelakinya.
“Jururawat itu kemudian membawa beberapa jururawat lain dan belum sempat meminta maaf, dia terus ditampar suspek. Lelaki itu malah meminta mangsa sujud untuk meminta maaf,” jelasnya.
Suspek didakwa berdasarkan Artikel 351 Undang-Undang Jenayah berhubung penganiayaan
serta berdepan hukuman penjara selama dua tahun.
Sementara itu, Pengarah hospital swasta tersebut, Bona Fernando berkata, jururawat itu mengambil tindakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.