JAKARTA: Sebuah video yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki ingin mengurung bapanya di dalam bilik kerana enggan membenarkan lelaki itu pergi ke kerja menjadi tular dalam media sosial.
Hal ini kerana, lelaki dalam video tersebut adalah Imam Adi yang merupakan seorang daripada anak kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang dan tenggelam di perairan Bali.
Lapor Kompas.com, video itu dirakam oleh isteri Imam sebelum dia berlayar menaiki KRI Nanggala-402.
Bapa Imam, Edy Sujainto berkata, cucunya yang berusia dua tahun setengah itu seolah-olah tahu insiden buruk akan berlaku pada bapanya.
“Kebiasaannya, cucu saya memahami bapanya akan pergi belayar, namun baru-baru ini, dia seolah-olah tidak mahu melepaskan Imam dan ingin mengurung bapanya di dalam bilik.
“Cucu saya beritahu dia tidak mahu bapanya pergi kerja dan hanya duduk di rumah,” katanya.
Namun, Edy hanya menganggap tingkah laku cucunya itu sebagai kebetulan sahaja dan masih berharap anaknya ditemukan selamat.