MELBOURNE: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison memaklumkan negara itu tidak akan tergesa-gesa untuk membuka semula pintu sempadan antarabangsanya.
Lapor Reuters, Australia menutup pintu sempadan kepada semua pengunjung bukan warganegara dan bukan penduduk sejak Mac tahun lalu serta mengehadkan ketibaan antarabangsa bulan ini terutamanya rakyatnya yang pulang dari luar negara.
Penutupan sempadan, perintah berkurung, pengesanan kontak yang cepat serta pematuhan masyarakat yang tinggi terhadap langkah-langkah kesihatan menjadikan Australia sebagai antara negara paling berjaya di dunia membendung penularan pandemik Covid-19.
Setakat ini, negara itu merekodkan sebanyak 29,500 kes positif Covid-19 serta 910 kematian.
“Australia tidak akan tergesa-gesa membuka pintu sempadan. Saya akan berikan jaminan.
“Saya tidak akan meletakkan negara dalam keadaan berisiko yang sangat berbeza dengan negara lain hari ini,” katanya.
Di beberapa tempat di negara itu, rakyatnya sudah boleh menikmati makan malam di luar, berhimpun serta tidak lagi memakai pelitup muka.
Penduduk Australia dan New Zealand boleh mengunjungi kedua-dua negara itu tanpa perlu memohon pengecualian atau menjalani tempoh kuarantin wajib.
New Zealand hanya merekodkan kes positif Covid-19 sebanyak 2,239 kes dan 26 kes kematian.