LONDON: Seekor arnab yang dinobatkan sebagai terbesar di dunia dilaporkan dicuri dari kandangnya.
Ekoran itu, pemiliknya, Annette Edwards, 68, menawarkan ganjaran sebanyak 1,000 pound (RM5,683) kepada mana-mana individu yang membawa pulang haiwan kesayangannya dengan selamat.
Lapor Metro, arnab jenis Continental Giant atau turut dikenali baka German Giant yang bernama Darius, dicuri Sabtu lalu.
Menurut Edwards, dia berasa kecewa setelah mengetahui arnab berusia 10 tahun itu hilang dari kandang di laman rumahnya di Stoulton, Worcestershire, pada keesokan harinya.
Darius mempunyai berat 15.87 kilogram (kg) dan berukuran 129 sentimeter (cm) panjang pernah memenangi Rekod Dunia Guinness sebagai arnab terbesar yang masih hidup.
Edwards menerusi laman Twitter merayu kepada individu yang membawa Darius agar segera memulangkan semula haiwan peliharaannya itu.
“Darius terlalu tua untuk membiak sekarang,” katanya.
Polis West Mercia memaklumkan pihaknya ketika ini menjalankan siasatan untuk mencari Darius.