MEKAH: Anggota keselamatan wanita bagi ibadah haji dan umrah akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram semasa bulan Ramadan.
Lapor Saudi Gazette, petugas itu akan menjalankan beberapa misi keselamatan dan tugasan termasuk memantau pelaksanaan kawalan pencegahan dan langkah berjaga-jaga termasuk keselamatan berkaitan jemaah wanita.
Menteri Dalam Negeri memuat naik gambar askar wanita yang sedang melaksanakan tugas mereka di Masjidil Haram dalam akaun Twitter rasminya.
Situasi itu menunjukkan pihak kementerian menyokong sektor keselamatan awam dengan banyak pengkhususan diberikan kepada anggota wanita dalam sektor tersebut.
Ia selepas pengambilan secara besar-besaran golongan wanita di Arab Suadi dalam sektor keselamatan dan peruntukan latihan kepada mereka dalam persediaan ketenteraan dan undang-undang berkaitan keselamatan.
Mereka turut dilatih memiliki kemahiran komputer, bahasa Inggeris, komunikasi, mengumpul maklumat forensik serta bantuan keselamatan.