PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberi amaran kepada individu yang tidak mematuhi perintah kuarantin selama dua minggu dengan hukuman penjara.
Beliau turut memberi amaran kepada penjawat awam yang boleh kehilangan pekerjaan sekiranya enggan menerima suntikan vaksin.
“Individu yang melanggar perintah kawalan Covid-19 boleh dihukum. Saya terima digelar sebagai diktator, tetapi saya juga berusaha melindungi rakyat,” katanya.
Dua hari lalu, Kemboja merekodkan bilangan jangkitan kes Covid-19 melebihi 1,000 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,081 kes serta 26 kematian.
Menurut Hun Sen, suntikan vaksin adalah mandatori bagi semua pegawai kerajaan dan anggota tentera.
Program vaksinasi di Kemboja bermula sejak Februari lalu dan jutaan individu menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin. -AFP