JAKARTA: Selepas beberapa hari menunggu bagaimana nasib anaknya yang merupakan seorang daripada anak kapal selam KRI Nanggala-402, Sunaryo reda dengan apa yang berlaku.
Bapa kepada Gunadi Fajar Rahmanto itu berkata, dia reda dengan pemergian anaknya walaupun berat hati untuk menerima insiden yang berlaku.
“Dengan hati yang tenang, saya reda pemergian Gunadi, malah saya bangga kerana dia pergi ketika menjalankan tugas untuk keselamatan negara.
“Semua yang berlaku sudah tertulis dan itu adalah perancangan tuhan,” katanya kepada Kompas.com.
Rumah Sunaryo di Bantul, Yogyakarta ketika ini dikunjungi ramai orang termasuk Ketua Daerah Bantul, Abdul Halim Muslih.
Jelas Abdul Halim, Gunadi merupakan seorang daripada anggota tentera laut terbaik di negara ini.
Sementara itu, Gunadi meninggalkan seorang isteri yang kini sarat hamil tujuh bulan anak pertama mereka.