WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) akan melaksanakan panduan ‘Do Not Travel’ (Jangan Mengembara) ke 80 peratus negara di seluruh dunia ekoran risiko tidak dijangka akibat pandemik Covid-19.
Sebanyak 34 dari senarai 200 negara sudah diletakkan dalam ‘Tahap 4: Jangan Mengembara’ seperti Chad, Kosovo, Kenya, Brazil, Argentina, Haiti, Mozambique, Rusia dan Tanzania.
“Kemas kini itu menyebabkan peningkatan bilangan negara pada tahap 4 yang menghampiri 80 peratus negara di seluruh dunia,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
Peningkatan 80 peratus memerlukan penambahan sebanyak 130 negara.
Kebanyakan rakyat Amerika dihalang daripada mengembara ke negara Eropah kerana perintah kawalan Covid-19.
Washington turut menghalang semua penduduk bukan warganegara yang pernah mengunjungi Eropah, China, Brazil, Iran dan Afrika Selatan.
White House bagaimanapun belum memberi sebarang garis masa untuk melaksanakan sekatan itu. -REUTERS