HONG KONG: Sekurang-kurangnya 49 penumpang dalam sebuah pesawat penerbangan dari New Delhi ke Hong Kong disahkan positif Covid-19, menurut pihak berkuasa.
Kes tersebut dikenal pasti ketika wilayah separa autonomi itu mengenakan larangan terhadap semua penerbangan dari India berikutan lonjakan kes Covid-19
Penumpang yang diuji positif Covid-19 dilaporkan menuju Hong Kong dalam penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan, Vistara pada 4 April lalu.
Keputusan ujian saringan itu adalah penting ketika Hong Kong mencatatkan kes harian yang lebih rendah berbanding jumlah dikesan dalam pesawat sejak wilayah itu berjaya mengawal gelombang keempat pada Januari lalu.
Pihak berkuasa Hong Kong mengenakan larangan terhadap semua penerbangan dari India, Pakistan dan Filipina selama tempoh dua minggu.
Larangan itu berkuatkuasa semalam selepas Hong Kong mengkategorikan negara-negara tersebut sebagai `risiko sangat tinggi’ setelah mengesan strain Covid-19 mutasi N501Y untuk kali pertama. – AFP