SEMARANG: Seramai 30 pesalah yang pernah terlibat dalam jenayah keganasan di Jawa Tengah bersedia menyampaikan dakwah di beberapa tempat sempena bulan Ramadan.
Menerusi sesi dakwah itu, mereka yang merupakan ahli Yayasan Putra Persaudaraan Anak Negeri (Persadani) akan mengukuhkan fahaman jihad berpandukan tuntutan agama sebenar, bukannya jihad sesat dengan melakukan serangan bom sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Ketua Yayasan Persadani, Machmudi Hariono berkata, pemahaman agama yang salah harus diperbetulkan bagi menangkis pemahaman radikal.
Katanya, pihaknya turut menyasarkan golongan muda sebagai sasaran dakwah mereka berikutan penyebaran pemahaman radikal yang menyerap masuk.
“Trend sekarang sudah berubah kerana insiden pengganas di Ibu Pejabat Polis Jakarta menjadi bukti golongan muda boleh terpengaruh kerana mereka mudah mendapatkan maklumat dalam media sosial dan internet.
“Sekarang kami yang merupakan bekas pelaku jenayah itu akan menentang fahaman salah dengan berdakwah semasa bulan mulia ini,” jelasnya.
Ketua Polis Semarang, Irwan Anwar berkata, pihaknya memberikan ruang kepada bekas pesalah itu bagi mereka berkongsi cerita serta mengadakan perbincangan.
“Kita akan membawa bekas pengganas ke masjid, ruang solat dan sekolah berasrama. Jadi, ini adalah pendekatan yang sangat santai dalam membendung fahaman keganasan dan radikalisme,” katanya. -CNN INDONESIA