BIJAPUR: Seramai 22 anggota polis dan separa tentera India terbunuh serta 30 cedera dalam satu pertempuran dengan kumpulan pemberontak Maoist di tengah negara ini.
Menurut polis, kira-kira 2,000 anggota keselamatan dikerah memburu pemimpin Maoist di daerah Bijapur di negeri Chhattisgarh semalam apabila mereka diserang hendap kumpulan pemberontak tersebut.
Jurucakap polis, Ashok Juneja mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pertempuran yang melibatkan aksi berbalas tembakan itu berlangsung selama hampir tiga jam.
Katanya, operasi memburu ketua kumpulan pemberontak itu akan diteruskan.
Dalam pada itu, kesemua anggota keselamatan yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, lebih puluhan anggota keselamatan hilang dan jumlah korban juag dikhuatiri meningkat. – AFP