MANILA: Pihak berkuasa Filipina merampas kira-kira 200 tan kerang kima yang diternak secara haram bernilai hampir AS$24.8 juta (RM102.3 juta).
Pengawal pantai memaklumkan empat suspek ditahan di Pulau Hijau di Laut Sulu dan rampasan itu merupakan yang terbesar dilakukan oleh pihak berkuasa di kawasan berkenaan.
Jurucakap Majlis Perbandaran Palawan, Jovic Fabello berkata, ‘mengambil kerang kima keluar dari habitat asalnya merupakan satu perbuatan jenayah’.
“Perbuatan itu akan menyebabkan kerosakan kekal terhadap ekosistem laut dan memberi kesan terhadap generasi akan datang,” katanya.
Kumpulan pakar alam sekitar Filipina sebelum ini menzahirkan kebimbangan mengenai kegiatan perdagangan haram melibatkan kerang kima yang semakin berleluasa sejak tiga tahun lalu.
Cangkerang kima kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan barangan perhiasan rumah dan aksesori bagi menggantikan penggunaan gading gajah yang semakin sukar didapati dalam pasaran gelap. – AFP