PORT MORESBY: Sekurang-kurangnya 19 orang maut termasuk tujuh terbunuh dalam letupan bom tangan dalam pergaduhan antara puak di kawasan pergunungan di Papua New Guinea.
Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berlaku di sekitar Kainantu di wilayah Timur Highlands di tengah-tengah pergaduhan mengenai isu hak pemilikan tanah antara puak selama sebulan lalu.
Menurut komander polis wilayah, Michael Welly, pada mulanya dua puak berada di Kainantu untuk menandatangani perjanjian damai pada Khamis lalu.
Katanya, pergaduhan antara dua wanita mencetuskan pertempuran besar-besaran dalam kalangan puak itu sehingga mengorbankan 12 orang.
Lapor Post Courier, tujuh orang maut apabila sebutir bom tangan diletupkan pada keesokan hari sebelum beberapa rumah dibakar sebagai tindak balas.
Welly berkata, puak-puak berkenaan menghentikan pertempuran sementara selepas pasukan keselamatan khas dari wilayah lain dikerahkan ke tempat kejadian.
“Kami berharap mereka meletakkan senjata atau menyerahkannya namun perkara itu akan mengambil masa yang lama,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Papua New Guinea, David Manning berkata, isu tersebut akan ditangani dengan segera.
Beliau bagaimanapun mengakui lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani masalah senjata haram.
Konflik antara puak sering berlaku di wilayah pergunungan Papua New Guinea dan ia diburukkan lagi dengan kebanjiran senjata automatik.
Pada 2019, sekurang-kurangnya 24 termasuk dua wanita hamil terkorban di wilayah Hela selepas keganasan antara kaum berlarutan selama tiga hari. – AFP