JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) akan memantau 16 siaran stesen televisyen sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Timbalan Setiausaha Agong, Maklumat dan Komunikasi MUI, Asrori S Karni berkata, pihaknya akan membuat penilaian tersebut sekiranya terdapat rancangan yang bercanggah undang-undang.
“Kami mengesyorkan penambahbaikan terhadap pihak berkaitan terutamanya institusi penyiaran dan Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (BPI) sekiranya terdapat rancangan semasa bulan Ramadan yang melanggar undang-undang, peraturan dan ketetapan,” katanya.
Asrori berkata, 16 stesen televisyen yang akan dipantau itu adalah TVRI, TVOne, ANTV, MetroTV, Trans7, TransTV, SCTV, Indosiar, RCTI, MNC TV, GTV, Kompas TV, iNews, NET, RTV, and JawaPos TV.
Jelasnya, aktiviti pemantauan akan memfokuskan semasa waktu puncak iaitu sebelum dan selepas waktu berbuka antara pukul 5 petang hingga 8 malam serta sebelum dan selepas waktu sahur antara pukul 3 hingga 5 pagi.
Tambah beliau, pemantauan akan dilaksanakan bagi peringkat pertama iaitu 15 hari pertama Ramadan serta peringkat kedua iaitu 15 hari seterusnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infocom MUI, Mabroer MS berkata, pasukan pemantauan akan menggunakan garis panduan untuk mengenal pasti sama ada terdapat syarikat penyiaran yang berpotensi melanggar atau menyiarkan kandungan bertentangan dengan kesucian bulan Ramadan.
Ujarnya, laporan pemantauan akan dibuat secara global serta mengandungi pelbagai aspek pelanggaran atau kritikan.
“Laporan itu juga akan dilengkapi keterangan terperinci seperti wujud kata makian, dicatat siapa yang menuturkannya dan perkataan yang diucapkan.
“Apabila ada tarian seksual, apakah perinciannya seperti jenis tarian dan adegan apa yang dipaparkan. Dengan maklumat terperinci itu barulah laporan dilihat lebih menyakinkan,” katanya. -KOMPAS.COM