KAHERAH: Sebuah kereta api penumpang tergelincir dari landasan dalam satu kejadian di utara Kaherah semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh.
Insiden itu menyaksikan empat gerabak kereta api tergelincir dari landasan di bandar Banha di wilayah Qalyubia.
Beberapa video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan penumpang bergegas keluar untuk menyelamatkan diri dari gerabak yang tergelincir.
Menurut kenyataan pihak berkuasa landasan kereta api Mesir, kejadian berlaku ketika kereta api berkenaan dalam perjalanan ke bandar Mansoura dari Kaherah.
Kementerian Kesihatan Mesir pula memaklumkan sekurang-kurangnya 98 orang cedera dengan kebanyakannya mengalami patah tulang, luka dan lebam.
Sebanyak 60 ambulans dikerah ke lokasi kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.
Kemalangan itu berlaku tiga minggu selepas dua kereta api penumpang bertembung di wilayah Sohag, mengakibatkan 18 orang maut dan 200 cedera termasuk kanak-kanak. – AP