TORONTO: Seorang wanita dari Kanada dilaporkan memiliki kira-kira 4,500 koleksi patung kuda My Little Pony yang kini dianggarkan bernilai 58,000 Pound (RM330,880).
Lapor Metro, Stephanie Nasello, 37, pada mulanya mendapat patung patung mainan itu sebagai hadiah ketika berusia tiga tahun.
Katanya, hadiah itu mencetuskan obsesi seumur hidup sehingga dia sanggup membelanjakan sebanyak 22,000 Pound (RM125,506) untuk mengumpul koleksi berkenaan.
Nasello bagaimanapun menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual patung mainannya.
Dia gemar mengunjungi kedai permainan, eBay, kedai barangan terpakai, jualan garaj untuk membeli patung kuda itu bagi menambah koleksinya.
Malah, kebanyakkan patung kuda yang dimilikinya masih dibungkus dalam kotak asal dari tahun 1980-an.
Antara patung My Little Pony kegemaran Nasello adalah Diamond Dream dan Peppermint Crunch yang dikumpulkan sejak zaman kanak-kanaknya.
Patung kuda paling lama dimilikinya adalah daripada ‘Generation Zero‘ yang mana dikenali sebagai ‘My Pretty Pony‘ yang diperbuat dengan plastik berwarna coklat pada tahun 1981.
Nasello turut mempunyai bilik khas, ‘The Pony Room‘ bagi menyimpan semua patung kudanya termasuk 13 rak yang berisi mainan terbabit dan memorabilia bertema.