Wanita jalani pemindahan muka kali kedua - Utusan Malaysia

Wanita jalani pemindahan muka kali kedua

CARMEN TARLETON menjalani pembedahan pemindahan muka untuk kali kedua di Brigham and Women's Hospital pada Julai tahun lalu. - NBC NEWS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Seorang wanita yang menjalani pembedahan pemindahan muka untuk kali kedua membuat penampilan pertama bagi menunjukkan wajah baharunya.

Lapor Daily Mail, Carmen Tarleton yang menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS) pertama untuk menjalani pembedahan itu untuk kali kedua, mengucapkan terima kasih kepada keluarga penderma atas pemberian ‘hadiah paling bermakna’ untuknya.

Tarleton yang mengalami kecacatan teruk pada wajahnya dalam satu serangan oleh suaminya pada 2007, dilaporkan semakin pulih sejak menjalani pembedahan itu di Brigham and Women’s Hospital di Boston pada Julai tahun lalu.

Wanita berusia 53 tahun itu menjadi individu kedua di dunia untuk menjalani prosedur berkenaan setelah pembedahan pemindahan muka pertamanya gagal tujuh tahun lepas.

Tarleton yang merupakan bekas jururawat menunjukkan wajah baharunya buat kali pertama dalam satu temubual program Today di NBC.

“Setiap minggu, saya menjadi lebih baik. Saya teruja untuk mengetahui apa akan berlaku selepas ini. Saya banyak bersabar,” katanya.

Baru-baru ini, Tarleton dapat bertemu dengan keluarga penderma secara maya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Penderma bagi pembedahan kedua Tarleton merupakan Casey Harrington Labrie, 36, yang meninggal dunia pada Julai tahun lalu akibat dadah berlebihan.

Tarleton mengalami luka melecur lebih 80 peratus di badannya dan menjadi buta selepas suaminya, Herbert Rodgers memukulnya dengan kayu besbol serta menyimbah bahan kimia ke atas tubuhnya pada 2007 kerana mensyaki dia menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Tarleton menerima pembedahan pemindahan muka pertama pada 2013 dan ia hanya bertahan selama tujuh tahun sebelum doktor menemui kerosakan tisu ketika badannya mula menunjukkan tindak balas terhadap tisu penderma.

Penderma pertama Tarleton adalah Cheryl Denelli Righter,56, yang meninggal dunia akibat serangan strok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya