LONDON: Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock menegaskan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca adalah selamat dan tiada bukti menunjukkan ia membahayakan kesihatan.
Malah, beliau menggesa penduduk negara ini supaya mengambil suntikan vaksin tersebut bagi mempercepatkan pembentukan imuniti berkelompok biarpun beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Sepanyol dan Jerman menggantung penggunaannya.
“Tiada bukti menunjukkan vaksin tersebut menyebabkan pembentukan darah beku.
“Lebih 11 juta dos vaksin AstraZeneca sudah diberikan kepada penduduk di sekitar United Kingdom (UK),” katanya kepada akhbar The Sun.
Jelas Hancock, laporan mengenai darah beku dalam kalangan mereka yang menerima vaksin tersebut adalah rendah berbanding situasi sebenar ketika ini.
Sementara itu, Agensi Perubatan Eropah (EMA) menjalankan penelitian mengenai vaksin tersebut, namun masih menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan Covid-19. – AFP