NARAYANGANJ, BANGLADESH: Sekurang-kurangnya puluhan penunjuk perasaan cedera ketika bertempur dengan polis dalam tunjuk perasaan baharu di beberapa bandar utama di seluruh negara hari ini.
Demonstrasi yang masuk hari ketiga itu tercetus susulan membantah kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Bangladesh sempena negara ini menyambut hari kebangsaan ke-50 tahun pada Jumaat lalu.
Modi didakwa bersikap berat sebelah terhadap komuniti Islam di India.
Protes yang berlaku hari ini menyaksikan ratusan penunjuk perasaan membakar perabot dan tayar di tepi jalan sambil melaungkan slogan anti-Modi.
Keadaan itu menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menembak peluru getah.
Seramai lima penunjuk perasaan maut dalam demonstrasi pada Jumaat lalu dan enam lagi terbunuh semalam selepas polis melepaskan tembakan di beberapa daerah utama di negara ini. – AFP