LA PAZ: Sekurang-kurangnya tujuh pelajar kolej meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan universiti selepas penghadang besinya runtuh.
Lapor Mirror, kejadian itu berlaku di Public University of El Alto yang terletak berhampiran bandar La Paz, Bolivia.
Rakaman video insiden itu menunjukkan sekumpulan besar pelajar bersesak di laluan sempit di bangunan tersebut ketika penghadang besi itu terjatuh.
Menurut universiti menerusi satu kenyataan, pihaknya mengisytiharkan berkabung selama tujuh hari ekoran insiden yang berlaku pada pagi semalam.
Kejadian itu berlaku di bangunan sains kewangan ketika pelajar berkumpul secara beramai-ramai untuk menghadiri perhimpunan.
Sekurang-kurangnya lapan orang terjatuh, dengan seorang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.
Dilaporkan, tiga lagi individu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Bolivia, Kolonel Jhonny Aguilera berkata, punca kematian pelajar berkenaan adalah multiple defenestration trauma.
Tambah beliau, pihaknya telah memulakan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan maut itu.