DAR ES SALAAM: Samila Suluhu Hassan mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Tanzania selepas kematian mengejut John Magufuli akibat sakit yang tidak didedahkan kelmarin.
Pemimpin wanita berusia 61 tahun itu mengangkat sumpah di pejabat presiden di sini sebelum memeriksa perbarisan tentera dan menerima penghormatan dengan tembakan meriam.
“Saya, Samia Suluhu Hassan, berjanji untuk berlaku jujur, mematuhi serta melindungi Perlembagaan Tanzania,” katanya ketika mengangkat sumpah.
Di bawah Perlembagaan negara ini, Samia akan berkhidmat sebagai Presiden Tanzania selama lima tahun bagi tempoh sepenggal.
Sementara itu, Magufuli meninggal dunia pada usia 61 tahun akibat masalah jantung selepas ‘menghilangkan diri’ daripada kemunculan awam selama tiga minggu.
Pelbagai persoalan timbul berhubung punca kematiannya, termasuk dakwaan beliau dijangkiti Covid-19 dan mendapatkan rawatan di luar negara. – AFP