JAKARTA: Program suntikan vaksin Covid-19 bagi golongan tua boleh dilakukan menerusi kaedah pandu lalu atau tanpa perlu keluar daripada kenderaan.
Lapor Kompas.com, pemberitahuan itu tertera dalam aplikasi Halodoc yang menyatakan program tersebut bermula pada 3 Mac ini.
Jurucakap Program Vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi mengesahkan perkara tersebut.
“Kaedah itu akan dilakukan di kawasan yang luas yang membolehkan kenderaan keluar dan masuk untuk membawa warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
Perkhidmatan suntikan vaksin secara pandu lalu itu merupakan program rasmi Kementerian Kesihatan yang ditawarkan secara percuma.
Setakat ini, perkhidmatan itu akan disediakan di ruangan parkir C, Expo Antarabangsa Jakarta.
Menerusi Halodoc, setiap individu boleh mendaftar dan memilih jadual suntikan vaksin mengikut kesesuaian masing-masing.
Orang ramai diingatkan supaya membawa Kad Pengenalan (KTP) sebelum menerima vaksin dan golongan berusia 60 tahun ke atas mesti hadir bersama pembantu bagi tujuan keselamatan selepas divaksin, memakai baju yang sesuai dan hadir dengan kenderaan.