JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) buat pertama kalinya mengumumkan mengenai kes pertama jangkitan Covid-19 di negara ini adalah setahun lalu iaitu pada 2 Mac 2020.
Kes pertama itu melibatkan dua penduduk iaitu seorang wanita berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Sita Tyasutami dan ibunya, Maria Darmaningsih, 64 tahun.
Kedua-duanya berasal dari Depok, Jawa Barat.
Berdasarkan hasil pengesanan (tracing), Sita dipercayai dijangkiti wabak tersebut ketika menghadiri acara tarian di sebuah restoran di Jakarta Selatan pada 14 Februari 2020.
Dalam acara tersebut, Sita melakukan kontak rapat dengan seorang warga Jepun yang kemudiannya disahkan positif Covid-19.
Restoran yang menjadi lokasi pertama penularan koronavirus itu dikenali sebagai Amigos yang terletak di Kemang, Jakarta Selatan.
Dalam pada itu, Pengurus Amigos, Agus menolak dakwaan yang menyatakan restoran tersebut menjadi titik penularan Covid-19 di Indonesia.
Katanya, tiada satu pun daripada 30 pekerja restoran itu dijangkiti Covid-19.
“Sejak 14 Februari 2020 hingga kini, semua pekerja saya sihat dan tiada seorang pun dijangkiti koronavirus,” ujarnya kepada Kompas.com.