TOKYO: Rangka seorang wanita yang dilaporkan hilang dalam bencana tsunami yang diakibatkan oleh gempa bumi kuat pada 2011 akhirnya sudah ditemukan dan dikenal pasti.
Jurucakap polis memaklumkan, rangka yang hanya tinggal tengkorak itu ditemukan pada 17 Februari lalu di tepi pantai di wilayah Miyagi.
Analisis forensik pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan menunjukkan rangka tersebut milik Natsuko Okuyama yang maut ketika berusia 61 tahun.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun, jumlah kematian akibat bencana itu sehingga Disember 2020 adalah seramai 15,899 orang.
Namun, lebih 2,500 disahkan hilang walaupun sudah 10 tahun bencana itu berlaku.
Dalam pada itu, anak lelaki Okuyama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu usaha mencari ibunya sebelum ini.
“Saya berasa lega kerana akhirnya ibu sudah ditemukan walaupun dalam keadaan menyedihkan,” katanya. – AFP