Rakyat China suka ‘tunggu dan lihat’ - Utusan Malaysia

Rakyat China suka ‘tunggu dan lihat’

RAKYAT China memilih untuk tunggu dan lihat sebelum menerima suntikan vaksin kerana kekurangan data mengenai tahap keberkesanannya mencegah Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Shirley Shi sudah menerima tiga tawaran untuk disuntik vaksin Covid-19, namun pengurus sumber manusia itu tidak mempunyai ‘keperluan segera’ untuk divaksin.

“Saya memilih untuk menunggu dahulu bagi melihat semua kesan sampingan sebelum disuntik,” katanya.

China merupakan antara negara terawal di dunia yang melaksanakan perintah berkurung secara agresif dan ujian klinikal vaksin besar-besaran, menyaksikan negara ini berjaya mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Namun, program vaksinasi di negara paling banyak penduduk itu berbeza dengan usaha mereka dalam menangani ancaman koronavirus.

Bagi Shi, masalah yang dihadapi China ketika ini bukanlah mengenai kemudahan untuk mendapatkan vaksin, namun ‘gesaan’ yang perlahan.

Seorang pakar penyakit sistem pernafasan terkemuka China, Zhong Nanshan berkata, negara ini merancang untuk memvaksin kira-kira 40 peratus daripada 1.4 bilion penduduknya menjelang Jun ini.

Namun, hanya 3.5 peratus penduduk negara ini sudah divaksin dan jumlah itu masih jauh daripada pelan yang dirancang.

Angka itu juga jauh tersasar berbanding program vaksinasi yang dilakukan United Kingdom (UK) apabila negara itu berjaya memvaksin 32.99 daripada setiap 100 penduduknya.

 

Risiko kesihatan

Tahap program vaksinasi yang perlahan secara tidak langsung merisikokan China dengan ancaman jangkitan yang lebih besar pada masa akan datang, selain melambatkan pembentukan imuniti berkelompok.

Sehingga kini, tiada tahap piawaian global yang ditetapkan untuk mewujudkan imuniti berkelompok bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet menganggarkan sebanyak 60 hingga 72 peratus penduduk perlu divaksin bagi mewujudkan kekebalan Covid-19.

Agensi kawalan penyakit China, Gao Fu pula menyasarkan 70 hingga 80 peratus perlu divaksin agar negara ini bebas daripada cengkaman koronavirus.

Bagi mencapai tahap tersebut, China perlu menggunakan 10 juta dos vaksin setiap hari selama tujuh bulan dan setakat ini, hanya 52.5 juta dos sudah disuntik kepada golongan tertentu.

Keadaan itu secara tidak langsung membimbangkan banyak pihak.

 

Sangkal dakwaan

Ketika ini, China berusaha keras untuk menyangkal dakwaan antarabangsa yang menuduh virus Covid-19 berasal dari negara ini.

Antara langkah yang diusahakan adalah giat membekalkan dos vaksin Covid-19 kepada beberapa negara di seluruh dunia.

Sejumlah syarikat farmaseutikal China dijangka mengeksport hampir 400 juta dos untuk dibekalkan secara percuma ke 53 buah negara.

Felow Kesihatan Global di Jabatan Perhubungan Luar Majlis Amerika Syarikat, Yanzhong Huang berkata, China ketika ini terikat antara ‘keperluan vaksinasi untuk bentuk imuniti berkelompok dan memenuhi permintaan vaksin’.

Jelas beliau, kelewatan membentuk imuniti berkelompok hanya menyebabkan China semakin ketinggalan berbanding negara lain yang sudah mula membuka pintu sempadan dan memulihkan ekonomi.

 

Skeptikal

Isu kepercayaan turut menjadi antara faktor mengapa program vaksinasi di negara ini perlahan, selain negara ini juga terkenal dengan pelbagai skandal ubatan palsu.

Kaji selidik yang dilakukan oleh firma Ipsos pada Januari lalu menunjukkan 85 peratus penduduk dewasa di China bersedia menerima suntikan vaksin, namun tidak menyatakan berapa cepat mereka mahu divaksin.

Sebagai contoh, di sebuah klinik di Beijing, seorang doktor memaklumkan suntikan vaksin sudah ditawarkan kepada semua petugas, namun mereka memilih untuk menunggu dahulu sehingga data mengenai keberkesanan vaksin diperoleh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya