Puluhan ribu tahanan Syria hilang - Utusan Malaysia

Puluhan ribu tahanan Syria hilang

ORANG ramai menyelamatkan diri ketika serangan berlaku di bandar Afrin, utara Syria pada Mac 2018. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan puluhan ribu orang awam masih hilang setelah ditahan tanpa sebab munasabah sepanjang tempoh 10 tahun perang saudara berlaku di Syria.

Berdasarkan laporan baharu yang memperincikan dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh semua pihak, dianggarkan beribu-ribu lagi penduduk diseksa atau dibunuh dalam tahanan.

Kebanyakan mangsa dan saksi menggambarkan keadaan mereka seperti `penderitaan yang tidak dapat dibayangkan’ termasuk insiden rogol yang melibatkan kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia seawal 11 tahun. 

Jelas laporan itu, isu tersebut dilihat sebagai `trauma negara’ dan harus ditangani dengan segera.

Konflik perang saudara meletus di Syria selepas kerajaan Presiden Bashar al-Assad bertindak menyerang tunjuk perasaan antikerajaan pada Mac 2011.

Pertempuran itu menyebabkan sekurang-kurangnya 380,000 orang terkorban dan mengakibatkan hampir separuh penduduk Syria melarikan diri termasuk kira-kira enam juta pelarian berada di luar negara.

Laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa mengenai Syria di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu berdasarkan lebih 2,650 temubual dan siasatan di lebih 100 pusat tahanan.    

Penemuan itu mendokumenkan pelanggaran yang dilakukan oleh hampir setiap kumpulan utama dalam konflik perang itu yang dilihat bertujuan menakutkan dan menghukum mereka yang menjadi pihak lawan.  

“Penahanan sewenang-wenangnya oleh pasukan kerajaan terhadap ahli politik pembangkang, wartawan, aktivis hak asasi manusia dan penunjuk perasaan menjadi penyebab serta pencetus konflik berterusan di Syria.

“Kumpulan bersenjata dan organisasi pengganas seperti Hayat al-Sham dan Daesh kemudian mula menafikan hak kebebasan rakyat, melakukan pelanggaran kejam terhadap mereka,” kata Pengerusi suruhanjaya itu, Paulo Pinheiro.

Bekas tahanan menyatakan mereka dipaksa minum air kotor, makan makanan basi, diletakkan dalam sel yang sesak bersama ratusan individu lain tanpa tandas dan tidak diberikan rawatan perubatan.  

Tahanan yang mendakwa diseksa atau dianiaya di penjara dikendalikan oleh kerajaan pula memberitahu sekurang-kurangnya 20 kaedah berbeza digunakan oleh anggota keselamatan untuk mendapat pengakuan palsu.

Kaedah itu termasuk penggunaan renjatan elektrik, `membakar’ bahagian tubuh tertentu, mencabut kuku dan gigi serta menggantung orang secara terbalik untuk jangka masa yang lama. 

“Mereka menyeksa saya, kemudian anggota itu memberitahu mereka boleh membunuh saya pada ketika itu dan tiada sesiapa akan tahu,” kata seorang lelaki yang mengimbas kembali peristiwa ditahan oleh kerajaan di Homs.

Mangsa penderaan turut menceritakan pengalaman mereka berdepan dengan kesakitan fizikal kronik dan emosi yang teruk.

“Saya tidak dapat hidup tanpa lampin, saya mengalami kesakitan teruk di seluruh badan. Tiada harapan untuk saya malah hidup saya musnah sepenuhnya,” kata seorang wanita yang mendakwa diseksa dan dirogol di cawangan Keselamatan dan Perisikan Ketenteraan di Hom dan Damsyik. 

Laporan itu turut menyatakan para tahanan sering kali diseksa di pusat yang dikendalikan oleh Hayat Tahrir al-Sham, kumpulan yang menguasai kubu pembangkang terakhir di Syria. 

Beberapa lelaki pula menggambarkan mereka dipaksa untuk berbogel, direnjat elektrik pada bahagian kemaluan mereka dan dirogol. 

Tahanan wanita pula diugut rogol malah seorang perempuan dirogol di pusat pemeriksaan di Hama.  

Pasukan penyiasat juga dimaklumkan mengenai pembunuhan tahanan tanpa perbicaraan atau perbicaraan tanpa adil di mahkamah tentera atau membanteras keganasan. 

Menurut laporan itu, jumlah sebenar individu yang meninggal dunia ketika dalam tahanan tidak diketahui.

Namun, konservatif menganggarkan puluhan ribu individu terbunuh ketika berada dalam tahanan kerajaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya