YANGON: Premis perniagaan seperti kedai, kilang dan bank ditutup di bandar ini ketika protes semakin memuncak menentang rampasan kuasa junta tentera.
Lapor Reuters, sekurang-kurangnya sembilan kesatuan merangkumi sektor pembinaan, pertanian dan pembuatan menggesa semua rakyat Myanmar untuk berhenti bekerja selagi Aung San Suu Kyi tidak dibebaskan.
“Jika sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan diteruskan seperti biasa, ia hanya menguntungkan junta tentera sedangkan mereka menindas rakyat Myanmar. Sekarang adalah masanya untuk kita pertahankan demokrasi,” kata kesatuan dalam kenyataan akhbar.
Saksi berkata, hanya beberapa kedai minuman yang dibuka manakala, pusat beli belah utama ditutup dan tiada pekerja di kilang.
Dalam pada itu, seramai dua penunjuk perasaan ditembak di kepala hari ini, kata saksi kejadian.
Gambar yang tersebar dalam Facebook menunjukkan mayat dua lelaki terbaring di jalan di bandar utara Myitkyina.
Mangsa mengambil bahagian dalam protes semasa pihak polis melepaskan bom tangan dan gas pemedih mata.
Beberapa peserta demonstrasi ditembak dari arah bangunan berdekatan.
Saksi yang membantu mengalihkan mayat mangsa memaklumkan kepada Reuters, seramai dua orang ditembak di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala, tiga orang mengalami kecederaan.
Katanya, tidak dapat dipastikan siapa yang melepaskan tembakan tersebut terhadap peserta protes walaupun kedua-dua pihak polis dan tentera berada di lokasi kejadian.