JAKARTA: Ketua Badan Kebangsaan Pencegahan Bencana (BNBP), Doni Monardo mengajak semua pesakit Covid-19 yang sudah sembuh untuk mendermakan plasma darah konvalesen mereka.
Lapor Kompas.com, Doni menyampaikan hal tersebut ketika beliau menderma plasma darah di sini kelmarin.
“Besar harapan saya jika semua bekas pesakit Covid-19 dapat mendermakan plasma darah konvalesen mereka untuk membantu menyembuhkan pesakit sedia ada dalam kadar segera.
“Pendermaan plasma darah amat bermakna untuk pesakit yang masih berjuang melawan jangkitan Covid-19,” katanya.
Doni menjelaskan, lebih banyak plasma darah diderma, semakin banyak pesakit Covid-19 akan sembuh dalam tempoh terdekat.
Selain itu, sumbangan plasma darah juga dapat mengurangkan jumlah pesakit Covid-19 di seluruh negara.
“Plasma darah konvalesen diambil dari individu yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk digunakan sebagai terapi penyembuhan pesakit Covid-19 sedia ada,” ujarnya.
Terdahulu, Doni mengumumkan dirinya positif Covid-19 pada 23 Januari lalu dan menjalani rawatan intensif sehingga sembuh pada 12 Februari lalu.