BRUSSELS: Seorang penunggang basikal diperintahkan oleh mahkamah membayar denda sebanyak 1 pound (RM5) kerana menolak seorang kanak-kanak dengan lututnya.
Mahkamah di bandar Verviers memerintahkan lelaki itu bersalah kerana dengan sengaja menolak kanak-kanak tersebut, selain dia berdepan dengan kecaman hebat daripada pengguna media sosial.
Lapor Daily Mail, rakaman video menunjukkan lelaki itu menolak kanak-kanak berusia lima tahun yang berjalan dengan ibunya di taman Baraque Michel.
Aksi itu dirakam oleh bapa mangsa, Patrick Mpasa sebelum mengejar lelaki itu yang kemudian menyatakan dia tidak bersalah dalam kejadian tersebut.
Keluarga itu kemudiannya membuat laporan polis dan penunggang basikal serta saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Dalam pada itu, persatuan berbasikal tempatan menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Hakim memutuskan memberikan hukuman ringan kerana mendapati lelaki itu tidak berniat mencederakan budak perempuan itu.
Penunggang basikal itu memberitahu hakim, semasa dia menghampiri budak itu, dia merasakan tayar belakangnya hampir tergelincir.
“Bagi mengelakkan diri saya jatuh, saya cuba menyeimbangkan dengan pergerakan lutut. Saya tidak sedar lutut saya terkena budak itu dan menyebabkan dia terjatuh,” katanya.