SYDNEY: Pemindahan penduduk secara besar-besaran akan dilakukan dari kawasan rendah di sepanjang Pantai Timur Australia berikutan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir luar biasa terjadi.
Pihak polis berkata, ratusan penduduk berpusu-pusu ke pusat pemindahan di kawasan utara Sydney di New South Wales dan dijangka lebih banyak perlindungan diperlukan ekoran hujan turun ke arah selatan di kawasan pantai.
Biro Meteorologi melaporkan, paras banjir melepasi rekod 2013 apabila banjir melanda di sepanjang Sungai Hastings di luar kawasan Pelabuhan Macquarie, sekitar 400 kilometer dari Sydney.
Kawasan bandar di situ juga merekodkan kadar taburan hujan melebihi 300 milimiter sejak pagi Jumaat lalu.
Pihaknya meramalkan hujan lebat akan berterusan sehingga hari ini yang berpotensi membawa banjir kilat yang mengancam nyawa.
Pakar Klimatologi di biro itu, Agata Imielska berkata, fenomena itu bukan semata-mata tentang jumlah taburan hujan, tetapi seberapa cepat dan kuat hujan jatuh.
“Jadi hari ini, kita menggesa penduduk diluar sana, supaya mengamalkan langkah kawalan terbaik dengan kekal berada di rumah dan pastikan selamat,” ujarnya.
Rakaman imej televisyen menunjukkan jalan dilimpahi air banjir dengan orang ramai berkayak di sepanjang jalan, air memasuki kawasan rumah hingga ke tingkap serta air sungai melimpah.
Video yang disiarkan dalam media sosial dan televisyen tempatan menunjukkan terdapat rumah dihanyutkan oleh banjir.
Amaran cuaca ekstrem dan banjir bermula dari Pelabuhan Macquarie ke kawasan 500 kilometer di Sydney.
Penduduk diberi amaran supaya kekal berada di dalam rumah disebabkan risiko banjir kilat dan perkhidmatan kecemasan menerima lebih 500 panggilan bantuan serta 180 usaha menyelamat di kawasan terjejas. -AGENSI