JAKARTA: Seorang pekerja kilang di wilayah Cianjur nekad mencuri 12,000 kancing pakaian dalam dari tempatnya bekerja.
Lapor Kompas.com, suspek yang dikenali sebagai AN, 31, melakukan perkara itu kerana mahu membuka perniagaan sendiri menjual pakaian dalam wanita tersebut di rumahnya.
Ketua Polis Sukaluyu, Anaga Budiharso berkata, suspek bekerja di syarikat pakaian dalam itu selama dua tahun di bahagian gudang.
Dia mengaku baru mencuri buat pertama kali di gudang Sindangraja tempatnya bekerja.
Selepas bekerja, AN menyembunyikan barangan yang dicurinya itu ke dalam bagasi di dalam kereta.
Bagaimanapun, semasa hendak meninggalkan kawasan kilang itu, pelaku terkejut apabila terdapat pemeriksaan oleh pengawal keselamatan di pintu keluar.
“Suspek cuba berpatah balik, namun, tindakannya itu mencurigakan sehingga pihak keselamatan menemui bukti ribuan kancing pakaian dalam diletakkan dalam beg plastik besar di dalam keretanya,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian berjuta rupiah dan suspek ditahan mengikut Artikel 363 yang boleh dipenjarakan selama lima tahun.