YANGON: Siri demonstrasi di Myanmar tidak menunjukkan tanda-tanda bakal berakhir apabila sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan dilaporkan maut terkena peluru hidup yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan negara ini dan 30 cedera.
Insiden itu berlaku dalam protes terbaharu yang berlaku pada awal pagi ini menyaksikan polis Myanmar melepaskan tembakan ke udara menggunakan peluru hidup dan membaling gas pemedih mata bagi menyuraikan tunjuk perasaan.
Beberapa media tempatan berkongsi sejumlah imej yang menunjukkan segelintir individu dipercayai penunjuk perasaan dalam keadaan berlumuran darah.
Namun, tidak dapat dipastikan sekiranya mereka cedera terkena peluru hidup atau getah.
Kumpulan media Myanmar Now memuat naik video yang menunjukkan seorang lelaki terbaring tepi jalan berhampiran persimpangan Hledan Center dan menyatakan lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian dada dipercayai terkena peluru hidup.
Selain itu, seorang saksi yang menyaksikan insiden tembakan itu memberitahu Majalah Frontier, pasukan polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berlindung di stesen bas dan seorang daripada mereka maut manakala yang lain cedera.
Demonstrasi yang disertai ribuan penunjuk perasaan itu bertukar ganas apabila kumpulan pelajar perubatan berarak di sekitar jalan utama di sini.
Rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan melarikan diri daripada polis apabila mereka dikejar dan penduduk setempat dilihat membuat halangan untuk memperlahankan pergerakan anggota keselamatan.
Di kawasan berhampiran, penduduk meminta polis supaya membebaskan penunjuk perasaan yang ditahan.
Pemecatan Duta Myanmar ke PBB
Rusuhan ganas itu juga didakwa berlaku selepas tentera Myanmar mengumumkan duta negara ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipecat kerana ‘berpaling tadah’.
Kyaw Moe Tun didakwa menggesa PBB supaya ‘menggunakan apa sahaja pendekatan’ bagi memastikan rampasan kuasa dapat diakhiri dan pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi dibebaskan segera.
Tanpa amaran
Ketika situasi tegang semakin memuncak, pasukan keselamatan di negara ini turut menjadi lebih agresif termasuk berani menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Menurut penduduk setempat, pasukan polis ditempatkan di beberapa lokasi utama protes di sekitar bandar ini ketika penunjuk perasaan mula berhimpun.
“Tanpa sebarang amaran, anggota polis keluar dari jentera mereka dan membaling gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun,” kata Hayman May Hninsi yang merupakan seorang guru.
Cetuskan ketakutan
Di bandar Mandalay, penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar perubatan ‘takut’ untuk melakukan demonstrasi selepas pasukan polis melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran.
Aktivis belia, Esther Ze Naw berkata, rakyat Myanmar ketika ini bertungkus lumus membuang rasa takut yang mereka hadapi sejak pentadbiran junta.
“Ketakutan ini hanya semakin berkembang jika kita tidak cuba hapuskan ia dan mereka (tentera) tahu yang kita masih takut.
“Tentera sengaja mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat. Mereka sengaja buat kita lari dan bersembunyi,” katanya. – AFP/AGENSI