JAKARTA: Bermula hari ini, mana-mana motosikal yang mengeluarkan bunyi ekzos yang bising tidak akan dibenarkan melalui kawasan Monumen Kebangsaan (Monas) di Jakarta Pusat.
Lapor Liputan6, larangan tersebut dikeluarkan oleh Direktorat Trafik Polis Metro Jaya dan kira-kira 50 anggota polis akan ditempatkan di sekitar kawasan tersebut setiap hari bagi mengawal keadaan.
Pengarah Trafik Polis Metro Jaya, Sambodo Purnomo Yogo berkata, langkah itu diambil bagi mengekang perlumbaan haram yang sering diadakan di kawasan monumen tersebut.
“Tindakan ini juga bertujuan mewujudkan suasana serta keadaan selamat dan tenang untuk para pengunjung yang melawat Monas kerana itu merupakan mercu tanda Jakarta.
“Polis juga merancang untuk menutup jalan di sekitar kawasan Monas pada hujung minggu,” katanya.
Dalam pada itu, Sambodo menjelaskan penunggang motosikal yang ingin melalui kawasan tersebut perlu menggunakan ekzos standard dan bukannya yang sudah diubah suai dan mengeluarkan bunyi bising.
“Sila patuhi arahan atau anda bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Jika mahu melalui kawasan tersebut, gunakan motosikal yang mempunyai ekzos standard, selain patuhi had laju yang dibenarkan dan tidak menyertai perlumbaan haram,” ujarnya.