YANGON: Kebencian penduduk Myanmar sudah tidak dapat dibendung bahkan semakin meluap-luap terhadap junta tentera negara itu.
Negara yang terletak di benua Asia Tenggara itu kini sudah menjadi seperti medan perperangan.
Mungkin ini adalah karma buat Myanmar yang pernah menganiaya penduduk Islam Rohingnya tanpa perikemanusiaan.
Kini, episod kekejaman yang sudah berlaku hampir dua bulan itu masih diteruskan dengan tentera berterusan menindas rakyat sendiri.
Menurut sebuah badan pemantau, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), seramai 238 penduduk sudah terbunuh sehingga hari ini.
Lebih menyayat hati apabila seorang lelaki dibunuh semasa mengutip sampah di tepi jalan, manaka, seorang remaja perempuan 16 tahun maut ditembak oleh penembak hendap di rumah rakannya, lapor media tempatan.
DUNIA JADI PEKAK
Penunjuk perasaan melahirkan kekecewaan apabila gesaan mereka terhadap campur tangan antarabangsa tidak berhasil kerana organisasi dunia hanya memekakkan telinga ketika demokrasi di Myanmar memasuki fasa hitam.
Situasi itu menyebabkan peserta protes dalam kalangan golongan muda terpaksa menggunakan YouTube untuk mempelajari kaedah menggunakan senjata dan melakukan tembakan.
“Yangon sudah seperti zon perang, tetapi hanya satu pihak yang mempunyai senjata. Sebab itu tentera diperlukan kerana kami perlu berlatih dan bertempur pada masa sama. Masa semakin suntuk,” kata Aung, 27.
TUBUH TENTERA RAKYAT
Menewaskan angkatan tentera Tatmadaw bukanlah perkara mudah kerana mereka mempunyai seramai 406,000 anggota yang berpengalaman berperang selama beberapa dekad dengan etnik negara itu.
Namun, bagi seorang jurujual, Zaw, 29, tiada peluang lain untuk berjuang demi menegakkan demokrasi kerana junta tentera tidak sesekali akan memberikan hak demokrasi kepada rakyat sendiri.
“Kami sudah putus harapan terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana tentera yang akan datang membantu.
“Kita memerlukan Tentera Persekutuan yang merangkumi semua etnik di seluruh negara. Sekiranya bilangan tentera rakyat bertambah, sudah tentu junta akan berputus asa. Tentera rakyat akan menjadi Tatmadaw baharu,” tegasnya.
Seorang penganalisis bebas mengenai Myanmar, David Mathieson memberitahu dia mendengar banyak laporan mengenai penduduk negara ini yang mula lari ke kawasan sempadan dan ‘bekerjasama’ dengan kumpulan bersenjata atau militia.
Katanya, laporan itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi ada dalam kalangan rakyat negara ini mula membentuk ‘pasukan tentera sendiri’ dengan menerima bekalan senjata dan latihan ketenteraan.
“Sukar untuk mendapatkan berapa jumlah rakyat Myanmar yang bersembunyi di kawasan sempadan negara.
“Bekalan senjata mungkin boleh diperoleh daripada anggota pasukan keselamatan yang berpaling tadah, namun itu tidak menjanjikan kejayaan menentang junta tentera,” katanya. – AGENSI