OTTAWA: Seorang wanita warga emas dari Kanada mahu suntikan vaksin Covid-19 sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-94.
Hasrat Nina Rockett untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 dinyatakan menerusi satu sepanduk yang dipasang di luar hadapan rumahnya di Toronto, Kanada.
“Hari ini saya berusia 94 tahun, saya tidak mahu hadiah tetapi tolonglah memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada saya,” tertera sepanduk itu.
Anak perempuan Rockett, Margot menghasilkan sepanduk itu dan memasangnya di luar rumah ibunya, di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang meningkat akibat kelambatan proses vaksinasi Covid-19 di Kanada.
“Saya memasangnya pada malam sebelum hari jadi ibu. Saya sedar dia berumur 94 tahun dan masih lagi belum menerima suntikan vaksin Covid-19,” kata Margot.
Ulang tahun kelahiran Rockett adalah pada 24 Februari lalu.
Kanada sudah memesan lebih 400 juta dos vaksin daripada tujuh pembekal pada Disember 2020.
Setakat ini, kurang daripada tiga peratus penduduk Kanada sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. – AGENSI